Legenda Portugal, Ricardo Quaresma berpotensi menyarung jersi Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk musim 2025/26.
Perkara ini didedahkan sendiri pemegang saham majoriti Sang Kenari, Tan Sri Dr Daud Bakar dalam satu kenyataan yang disiarkan platform rasmi pasukan itu.
Beliau memaklumkan pengurusan Kedah telah mengadakan beberapa perbincangan dengan Quaresma untuk menyertai kelab itu pada musim hadapan.
Perpindahan bekas pemain sayap Barcelona itu dijangka boleh direalisasikan dengan syarat semua perbelanjaan Quaresma ditanggung oleh penaja tertentu.
“Pihak KDA FC telah membuat beberapa siri perbincangan bersama pihak Ricardo Quaresma untuk menyertai pasukan Liga Super KDA FC bagi musim 2025/2026 dengan syarat semua perbelanjaan Ricardo Quaresma ditanggung oleh pihak penaja tertentu,” katanya.
“Dalam konteks ini, pihak KDA FC juga telah membuat beberapa siri perbincangan awal dengan pihak penaja dalam misi membawa Ricardo Quaresma bersama dengan KDA FC di musim baru.
“Ini adalah satu penghormatan kepada pihak KDA FC yang mendapat perhatian dan pertimbangan wajar daripada pihak penaja luar negara untuk menjadi penaja rasmi kepada Ricardo Quaresma sekiranya Ricardo Quaresma bersetuju menyarung jersi KDA FC di musim 2025/2026.”
Seandainya perpindahan ini menjadi kenyataan, Quaresma bakal menjadi legenda bola sepak antarabangsa terbaru beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Sebelum ini, kelibat Pablo Aimar, Luciano Figueroa, Daniel Guiza, Christopher Kiwornya dan Tony Cottee pernah mewarnai saingan Liga M.
Kedah turut memaklumkan pasukan itu berusaha memastikan mereka mendapat Lesen Kebangsaan agar dapat beraksi pada musim hadapan.
Sang Kenari juga dalam proses mendapatkan seorang lagi bekas bintang Portugal, Joao Tomas untuk menggalas peranan sebagai pengarah sukan baharu kelab itu.
Kelibat Quaresma bakal dilihat dalam aksi persahabatan All-Star Kedah dan All-Star Malaysia pada 3 Mei ini.