Pemain muda Malaysia, Richard Chin mula menyerlah bersama kelab barunya dari Scotland, Raith Rovers.
Ini selepas Richard menjaringkan gol sulung bersama The Rovers dalam aksi pra-musim terbaru menentang Alloa Athletic.
Selepas dikecewakan Linlithgow Rose 2-1 dalam aksi pertama pra-musim, anak buah Barry Robson berharap dapat bangkit bila menentang The Wasps.
Lewis Vaughan meletakkan tuan rumah di hadapan seawal minit keenam. Vaughan mudah menolak bola hantaran Kai Montagu dalam gawang kosong.
Raith Rovers makin selesa di hadapan apabila Richard menyumbat gol kedua pada minit ke-44. Jai Rowe menambah gol ketiga The Rovers pada minit ke-54.
Josh Mullin terus menambah derita The Wasps dengan menyumbat gol keempat pada minit ke-70. Alloa merapatkan jurang pada minit ke-84 tetapi sudah terlambat menghalang kemenangan Raith Rovers.
The Rovers akan mengharungi satu lagi aksi persahabatan menentang Falkirk pada 5 Julai. Setelah itu, anak buah Robson akan membuka kempen Scottish League Cup menentang Elgin City pada 12 Julai.
Richard merupakan pemain baharu The Rovers selepas menyertai kelab itu dari Farnborough.