Pemain kacukan Malaysia-England, Richard Chin mengambil keputusan untuk menyertai sebuah pasukan di Scotland lalu melakar sejarah tersendiri di sana.
Perpindahan ini diumumkan menerusi sebuah hantaran di laman media sosial uang menyaksikan Richard Chin hadir diperkenalkan selaku pemain Raith Rovers dengan kontrak dua tahun.
”Selamat datang Richard Chin,” umum Raith Rovers di laman media sosial.
“Pemain sayap dinamik, Richard Chin menyertai kami dengan kontrak selama dua tahun selepas mencatat 42 penampilan, 7 gol dan 6 bantuan jaringan bersama Farnborough musim lalu.”
Dengan kehadiran Richard Chin ini telah menyaksikan beliau menjadi pemain pertama dari Malaysia yang menyarung jersi Raith Rovers dalam sejarah kelab yang berasal dari Kirkcaldy, Fife, Scotland itu.
”Dilahirkan di England tetapi mempunyai warisan Malaysia dan Seychelles, Richard Chin kini menjadi pemain Malaysia pertama dalam sejarah Raith Rovers,” ujar kelab tersebut.
Richard Chin yang juga graduan akademi Charlton pernah bersama beberapa kelab di England seperti Dartford, Bath City dan Farnborough sebelum berkelana ke Scotland ini.
Kelab baharunya ini, Raith Rovers sedang bersaing di Liga Divisyen Dua Scotland dan berada di tangga ke-5 dengan mengumpul 53 mata daripada 36 perlawanan.