Bekas penyerang Kanada, Rob Friend sah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya.
Pelantikan beliau diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan hari ini.
Pengumuman ini sekaligus menamatkan teka-teki siapa figura yang menggalas jawatan berkenaan. Antara nama yang dicanang sebelum ini ialah Tim Cahill dan Stanley Bernard.
“FAM mengumumkan Robert Douglas Friend atau lebih dikenali sebagai Rob Friend dari Kanada sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pasukan Kebangsaan,” kata badan induk itu dalam satu kenyataan.
Pelantikan beliau dilihat memenuhi ciri-ciri CEO Harimau Malaya yang digariskan oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Beliau bukan saja berstatus bekas pemain bola sepak tetapi juga seorang usahawan berjaya. Ini terbukti apabila Friend menjadi pengasas beberapa entiti komersial termasuk Canadian Premier League (CPL).
Menariknya, dua pasukan CPL iaitu Pacific FC dan Vancouver FC ditubuhkan oleh beliau. Friend membantu meningkatkan nilai liga tersebut mencecah angka AS$300 juta (RM1.3 bilion) dalam tempoh enam tahun.
Friend pernah beraksi untuk Moss FC, Molde, Heerenveen, Borussia Monchengladbach, Hertha Berlin, Eintracht Frankfurt, 1860 Munich dan LA Galaxy.
Pengalaman beliau dalam dunia bola sepak dan keusahawanan bukan saja akan memberi nafas baru kepada aspek perancangan dan pengurusan skuad kebangsaan.
Malah, Friend juga akan merekrut tenaga kerja berkualiti dan berpengalaman dalam pelbagai aspek bagi memantapkan lagi Harimau Malaya. Beliau bakal memulakan tugasnya secara rasmi pada Januari 2025.
[…] Sumber: X @FAM_Malaysia, MakanBola […]