DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor menyenaraikan kriteria penting Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Harimau Malaya.
Baru-baru ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan pelantikan pengendali baharu Harimau Malaya, Peter Cklamovski dari Australia.
Beliau juga dilantik bersama dengan Ketua Jurulatih Malaysia B-23 yang baharu iaitu Nafuzi Zain sekaligus merancakkan lagi revolusi Harimau Malaya.
Baginda dalam satu kenyataan menyenaraikan ciri-ciri yang perlu ada bagi seorang CEO skuad kebangsaan untuk mengangkat tahap bola sepak kebangsaan lebih tinggi.
“Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan kebangsaan Malaysia mestilah seorang yang memahami bola sepak dan mengetahui selok-belok sukan ini secara profesional supaya dapat menghubungkan aspek teknikal, komersial, dan hubungan interpersonal dalam bola sepak.
“Beliau juga perlu mempunyai rangkaian yang kukuh dalam industri bola sepak dengan hubungan erat bersama individu-individu yang berjaya dalam sukan ini bagi merangka hala tuju Harimau Malaya,” ujarnya menerusi satu hantaran di laman sosial.
DYAM Tunku Ismail menekankan bahawa CEO baharu bukan sahaja seorang bekas pemain tetapi berupaya memberi panduan terbaik kepada liga.
“Beliau mestilah seorang yang bukan sahaja pernah bermain di peringkat tertinggi, tetapi juga seorang usahawan yang mampu memacu kepentingan komersial Harimau Malaya.
“Selain itu, beliau juga perlu berupaya memberi nasihat kepada liga berkenaan dasar dasar yang boleh secara langsung dan tidak langsung meningkatkan kedudukan pasukan kebangsaan kerana liga yang kuat dengan lebih banyak pasukan yang diuruskan dengan baik akan meningkatkan standard bola sepak Malaysia,” tambahnya.
Baginda juga menyatakan bahawa proses untuk melantik CEO baharu Harimau Malaya sudah hampir selesai.