Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend mula menggariskan perancangan buat pasukan itu terutama menjelang pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027.
Selepas gagal mara ke peringkat separuh akhir ASEAN Championship 2024, tumpuan skuad senior Malaysia kini beralih kepada pusingan kelayakan yang akan bermula pada Mac ini.
Harimau Malaya berada dalam Kumpulan F bersama juara ASEAN Championship 2024, Vietnam. Nepal dan Laos melengkapkan pasukan yang berada dalam kumpulan sama.
Friend memaklumkan pelan jangka pendek, sederhana dan panjang sudah dirangka untuk membawa Harimau Malaya ke hadapan.
Fokus utamanya ketika ini ialah membantu jurulatih skuad senior, Peter Cklamovski untuk membentuk skuad mantap menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia 2027.
“Kita ada pelan jangka pendek, pertengahan dan panjang. Tugasan pertama kita adalah kempen kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac depan menentang Nepal dan ia amat penting buat pasukan kebangsaan,” katanya.
“Jadi, sebagai langkah awal, kita mengumpulkan barisan kejurulatihan terbaik dunia seperti Dr. Craig Duncan selaku Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan.
“Kita juga ada (ketua jurulatih) Peter Cklamovski yang pada saya merupakan salah seorang jurulatih terbaik di dunia.”
Skuad negara bakal memulakan kempen kelayakan Piala Asia 2027 dengan menentang Nepal pada 25 Mac ini.
Harimau Malaya juga dijangka menerima suntikan tujuh bintang warisan baru. Ini selepas DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor memaklumkan sudah mengenal pasti tujuh pemain berkualiti untuk pasukan berkenaan.