Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend mengakui beliau menerima tugas itu kerana tertarik dengan visi DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Friend yang juga bekas penyerang Kanada menyertai struktur baharu pengurusan Harimau Malaya baru-baru ini sebagai CEO.
Beliau menyertai Dr. Craig Duncan, Nafuzi Zain dan Peter Cklamovski yang dipilih menjadi sebahagian daripada revolusi baharu skuad negara.
Friend, 43, menyifatkan projek Harimau Malaya yang digariskan Tunku Ismail kepada beliau cukup unik dan menarik. Malah, beliau menyifatkan itu antara projek yang paling mengujakan dalam arena bola sepak global.
“Apa yang membuatkan saya teruja adalah visi FAM dan visi Tunku Mahkota Ismail. Oleh sebab itulah, saya berada di sini. Baginda merupakan orang yang paling berwawasan yang pernah saya temui,” katanya.
“Ketika saya bertemu dengan Tunku Mahkota Ismail, baginda menjelaskan tentang projek revolusi skuad Harimau Malaya.
“Pada pendapat saya, ini merupakan projek paling mengujakan dalam industri bola sepak global. Saya turut melihat bahawa ini merupakan peluang yang unik untuk membangunkan bola sepak di Malaysia.”
Sebelum ini, Friend menyifatkan Harimau Malaya sebagai sebuah pasukan gergasi yang masih tidur dan memiliki potensi untuk menyerlah di peringkat antarabangsa.