Penyerang baru Harimau Malaya, Rodrigo Holgado berpotensi menjadi pengganti bekas penyerang Manchester United, Radamel Falcao.
Portal Colombia.com melaporkan nama Holgado berada dalam radar kelab Colombia, Millonarios FC sebagai pengganti Falcao.
Ini selepas penyerang berusia 39 tahun itu memilih meninggalkan Los Azules sebagai ejen bebas. Ini meninggalkan kekosongan di bahagian jentera serangan kelab Colombia itu.
Justeru, Millonarios dilaporkan mahu mendapatkan Holgado untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Falcao.
Ini ditambah dengan kelab beliau, America de Cali dilaporkan berdepan masalah kewangan. Situasi ini menyebabkan Duvan Vergara meninggalkan kelab tersebut baru-baru ini.
Meskipun begitu, Millonarios perlu bertindak segera jika mahu mendapatkan Holgado. Ini kerana kelab Argentina, Gimnasia La Plata dilaporkan berminat mendapatkan penyerang berusia 29 tahun itu.
Holgado bukan satu-satunya calon yang dilihat pengganti sesuai buat Falcao. Millonarios juga dilapor mempertimbang nama rakan sepasukannya, Juan Fernando Quintero.