“Ronaldo Atau Messi Pun Tak Mampu Tembusi Penjaga Gol Kami” – Kim Sang-sik
MakanBola
Vietnam FF

Jurulatih Vietnam, Kim Sang-sik cukup kagum dengan prestasi cemerlang yang ditampilkan penjaga gol pasukan itu, Patrik Le Giang.

Patrik menunjukkan dirinya antara tonggak utama Vietnam apabila hanya dibolosi sekali dalam tujuh perlawanan. Selain itu, penjaga gol berusia 33 tahun itu juga merekodkan enam perlawanan tanpa bolos.

Sang-sik mengakui jika tidak kerana persembahan Patrik, Vietnam berdepan masalah dalam aksi final pertama ASEAN Hyundai Cup menentang Thailand baru-baru ini.

Malah, jurulatih Korea Selatan itu secara berseloroh percaya dua pemain terbaik dunia, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi juga akan bergelut jika berdepan penjaga gol berdarah Slovakia-Vietnam itu.

“Jika Patrik tidak berada di gawang hari ini, kami mungkin akan dibolosi tiga gol,” kata beliau kepada ASEAN United FC.

“Tetapi beliau ialah penjaga gol hari ini jadi kami menyelamatkan tiga gol. Jika Ronaldo atau Messi berada di sini hari ini, Patrik juga akan menyelamatkan mereka. Persembahannya sangat hebat.”

Patrik percaya persembahan cemerlangnya turut dibantu dengan tunjuk ajar yang diberi bekas penjaga gol Korea Selatan, Lee Woon-jae.

“Saya gembira kerana saya berjaya menyelamatkan percubaan ini dan saya telah membantu pasukan. Amat penting kami menang dan kami membawa pulang kemenangan yang sangat penting.

“Saya berasa sangat bersyukur atas peluang yang saya perolehi daripada jurulatih untuk mewakili pasukan kebangsaan Vietnam. Saya hanya menjalankan tugas saya dan cuba memberikan yang terbaik apabila saya mewakili negara (dan) untuk membalasnya atas peluang yang diberikannya kepada saya.

“Saya berasa sangat bersyukur selepas tiga setengah tahun, impian saya (mewakili Vietnam) menjadi kenyataan dan saya boleh berada di sini,” ujarnya.

Vietnam kini akan menentang Thailand dalam aksi final kedua pada 26 Ogos ini. Vietnam berharap dapat mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada edisi 2024.