Muangthong United terus memperkuat cabaran pasukan itu untuk kempen 2024/25 dengan membawa masuk bintang muda Indonesia, Ronaldo Kwateh.
Sebelum ini, nama Ronaldo menjadi sebutan ramai penyokong Indonesia apabila memilih untuk berkelana ke Eropah pada usia 18 tahun.
Ini selepas bekas pemain sayap Madura United itu menerima tawaran kelab Super Lig (divisyen bola sepak utama Turkiye), Bodrum FK pada 2023.
Kini, selepas setahun berada di bumi Anatolia, Ronaldo akan berkelana ke Thailand pula selepas menerima tawaran Muangthong.
Beliau menjadi pemain terbaru yang menyertai The Kirins untuk kempen 2024/25. Selain Ronaldo, Muangthong turut merekrut 10 pemain lain termasuk Aly Cissokho, Emil Roback dan Scott Woods.
Perpindahan Ronaldo diketahui penyokong apabila bintang muda Indonesia itu diperkenalkan dalam sesi pengenalan pasukan untuk musim 2024/25.
Ronaldo menjadi bintang Indonesia kedua beraksi dalam saingan Thai League 1. Sebelum ini, bek kanan Indonesia, Asnawi Mangkualam mewarnai saingan liga itu dengan menyertai Port FC.
Ramai peminat Indonesia tidak sabar melihat kedua-duanya berentap apabila Muangthong menentang Port. Peluang terawal penyokong melihat Ronaldo bersaing dengan Asnawi ialah perlawanan liga membabitkan kedua-dua pasukan pada 19 Oktober ini.