Roque Mesa Hargai Tempoh Bersama JDT
MakanBola
Johor Southern Tigers

Pemain tengah Sepanyol, Roque Mesa menghargai tempoh bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) meskipun hanya sempat beraksi satu perlawanan.

Pemain tengah berusia 36 tahun itu menyertai Harimau Selatan pada Januari lalu untuk membantu kempen mereka dalam Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).

Meskipun begitu, Mesa hanya sempat beraksi selama 24 minit dalam aksi pertamanya menentang Central Coast Mariners (CCM).

Bekas pemain tengah Swansea City itu mengalami kecederaan serius semasa cuba menghalang bola daripada sampai ke kaki pemain CCM, Mikael Doka.

Mesa cuba meneruskan perlawanan tetapi pada akhirnya, hasrat itu gagal direalisasikan. Beliau kemudiannya digantikan oleh pemain tengah Harimau Malaya, Afiq Fazail.

Aksi tersebut berkesudahan dengan kemenangan 2-1 buat JDT. Rakan senegara, Alvaro Gonzalez muncul wira dengan meledakkan dua gol.

Mesa kemudiannya menjadi sebahagian daripada 11 pemain yang mengucapkan selamat tinggal kepada Harimau Selatan.

Walaupun hanya dapat beraksi satu perlawanan, Mesa amat menghargai tempohnya bersama Harimau Selatan. Malah, beliau cukup kagum dengan keperibadian DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

“Keputusan baginda untuk menyokong saya untuk satu lagi musim, meskipun dengan kecederaan yang saya alami, jelas memperlihatkan kehebatan beliau sebagai pemimpin dan insan.

“Tanda sokongan tersebut memberi makna cukup besar kepada saya dan keluarga saya, kami tidak akan melupakannya,” katanya di Instagram.

Mesa turut menganggap tempohnya bersama JDT sebagai istimewa. Atas sebab itu, beliau merasa bersyukur dengan peluang yang diberi untuk menyertai pasukan tersebut.

“Saya memiliki rasa hormat yang mendalam kepada kelab ini, nilainya, rakan-rakan sepasukan dan penyokong yang memiliki semangat yang luar biasa.

“Saya akan sentiasa bersyukur kerana pernah menyarung jersi ini dan merasa bangga kerana menjadi sebahagian daripada projek istimewa ini,” tambahnya.

Bekas pemain tengah Sporting Gijon itu kini fokus menjalani proses pemulihan kecederaan ligamen krusiat anterior.