Pengurus baru Manchester United, Ruben Amorim mengakui terpikat dengan kelab berkenaan kerana didorong oleh faktor sejarah dan jalinan hubungan dengan individu penting di kelab itu.
Amorim tiba di Old Trafford sebagai pengendali baru United menggantikan pengurus sebelumnya, Erik ten Hag.
Bekas pengurus Ajax Amsterdam itu dipecat selepas prestasi tidak menentu The Red Devils sejak awal musim 2024/25. Susulan itu, legenda kelab, Ruud van Nistelrooy membantu menstabilkan prestasi pasukan sebelum Amorim mengambil alih pada 11 November lalu.
Sebaik tiba, bekas pengendali Sporting Lisbon itu mengakui hubungan dengan figura penting kelab terutama pemegang saham minoriti United, Sir Jim Ratcliffe mendorongnya memilih Old Trafford.
“Saya rasa memiliki hubungan dengan kelab. Dan bila saya katakan dengan kelab, semua orang tahu Manchester United. Tapi saya rasa memiliki hubungan dengan semua orang di kelab.
“Dan itu cukup penting buat saya kerana saya mahu bekerja dengan orang yang saya suka dan saya rasa ada hubungan bersama. Sudah tentu, saya perlu menyebut nama. Sir Jim (Ratcliffe) dan Sir Dave (Brailsford) tetapi terutamanya Omar (Berrada), Dan (Ashworth) dan Jason (Wilcox).
“Saya rasa ada hubungan (dengan semua) dan saya rasa kita berada dalam detik yang sama. Kita mahukan sesuatu yang istimewa dalam kelab istimewa ini. Jadi, saya fikir itu antara faktor utama,” katanya di laman sesawang rasmi kelab.
Jurulatih berusia 39 tahun itu turut melihat faktor sejarah kelab mendorongnya memilih Old Trafford sebagai destinasi baru dalam karier kejurulatihannya.
“Faktor kedua ialah sejarah kelab ini. Dan pada detik ini, saya fikir semua orang mahukan kejayaan dan saya fikir inilah tempat yang saya mahu menjadi sebahagian daripadanya.
“Ini kerana disebabkan hal ini, anda jadi sebahagian daripada sesuatu yang istimewa dan bukannya satu lagi (persinggahan),” ujarnya.
Amorim dijangka mula membimbing pasukan itu untuk aksi menentang Ipswich Town pada awal pagi 25 November. Pengendali Portugal itu boleh menghela nafas lega kerana Lisandro Martinez dijangka cergas untuk aksi berkenaan.
Sebelum ini, bek tengah Argentina itu terpaksa disisihkan pengendali La Albiceleste, Lionel Scaloni selepas dikesan mengalami kecederaan pinggul. Sekiranya proses pemulihan Martinez berjalan lancar, beliau akan menambah pilihan Amorim di bahagian bek tengah.