Bekas pemain pertahanan kebangsaan, S. Subramaniam menyifatkan Harimau Malaya bakal berdepan tugas getir dalam aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027.
Pusingan ketiga kelayakan menyaksikan Malaysia berada dalam Kumpulan F bersama Nepal, Laos dan juara ASEAN Championship 2024, Vietnam.
Vietnam membuktikan mereka antara pencabar hebat kumpulan dengan menewaskan Thailand di pentas final kejohanan berprestij di Asia Tenggara itu sebanyak dua kali. Ini termasuk kemenangan 3-2 di gelanggang keramat Thailand, Stadium Rajamangala pada 5 Januari lalu.
Atas sebab itu, skuad negara yang kini dibimbing jurulatih Australia, Peter Cklamovski perlu memiliki ramuan ampuh terutama bila berdepan Vietnam.
Ini kerana Subramaniam melihat kejayaan ke atas Vietnam dapat mencerahkan peluang Harimau Malaya layak selaku juara kumpulan.
“Kita harap pasukan kebangsaan dapat memberi aksi yang terbaik dan kita seharusnya layak ke Piala Asia,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.
“Dengan memenangi perlawanan dengan Vietnam, kita berpeluang layak ke Piala Asia. Jadi, kita perlu cari jalan macam mana nak tewaskan Vietnam dari sekarang.”
Harimau Malaya dijangka mendapat sokongan padu menerusi penstrukturan semula pengurusan pasukan berkenaan.
Selain Cklamovski, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut membawa masuk Nafuzi Zain, Rob Friend dan Dr. Craig Duncan sebagai sebahagian daripada perubahan yang dinyatakan.
Bekas pengendali FC Tokyo itu dijangka disertai rakan senegara, Mark Miligan sebagai penolong jurulatih. Ini susulan khabar angin bekas penolong jurulatih Adelaide United itu bakal menyertai staf kejurulatihan Harimau Malaya selepas meninggalkan The Reds baru-baru ini.