Calon pembantu jurulatih pasukan Harimau Malaya, Mark Miligan semakin hampir ke Malaysia setelah meninggalkan kelab Australia, Adelaide United.
Nama Mark Miligan menjadi bualan hangat peminat tempatan apabila media Australia, 7News Adelaide melaporkan jurulatih berusia 39 tahun itu bakal bergelar pembantu kepada Peter Cklamovski.
“Bekas penolong jurulatih Adelaide United, Mark Milligan akan ke Malaysia, menyertai pasukan kejurulatihan Peter Cklamovski,” lapor Robert Cornthwaite, wartawan 7News Adelaide di laman X.
Malah ini dikuatkan dengan satu kenyataan rasmi oleh kelab Adelaide United yang mengucapkan selamat tinggal kepada Mark Miligan setelah lebih dua tahun berkhidmat untuk The Reds.
”Adelaide United mengesahkan bahawa Penolong Jurulatih, Mark Milligan telah meninggalkan kelab, berkuat kuasa serta-merta untuk mengambil peluang di luar negara,” umum pihak kelab.
Walau bagaimanapun, masih tiada sebarang pengumuman rasmi oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkenaan berita ini sekaligus membuatkan para peminat ternanti-nanti.
Cklamovski kini memulakan tugas selaku pengendali skuad Harimau Malaya dan memiliki tugas penting bagi membawa pasukan kebangsaan layak ke Piala Asia 2027 hadapan.
Nepal bakal menjadi lawan pertama skuad negara pada 25 Mac ini dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 sekaligus menjadi tugasan sulung buat bekas jurulatih FC Tokyo itu.