Nama Mark Miligan disebut antara calon berpotensi bagi membantu pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski menurut laporan media dari Australia.
Peter Cklamovski diumumkan selaku ketua jurulatih pasukan kebangsaan pada pertengahan Disember lalu dengan tugas utama membantu skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2027.
Pelantikan Cklamovski ini turut menimbulkan tanda tanya mengenai identiti pembantu jurulatih beliau di dalam skuad kebangsaan dengan beberapa calon hangat diperkatakan.
Terdahulu, nama Hairuddin Omar dan Tan Cheng Hoe antara calon tempatan yang dicanang bakal membantu Cklamovski bersama seorang lagi pembantu jurulatih asing dari luar negara.
Menerusi satu laporan oleh wartawan 7News Adelaide, Rob Cornthwaite, bekas pembantu jurulatih kelab Adelaide United di Australia iaitu Mark Miligan bakal dilantik selaku pembantu Cklamovski.
“Bekas penolong jurulatih Adelaide United, Mark Milligan akan ke Malaysia, menyertai pasukan kejurulatihan Peter Cklamovski,” lapor Robert Cornthwaite di laman X.
Walau bagaimanapun, masih tiada sebarang pengumuman rasmi oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkenaan khabar angin ini.