Selangor FC sememangnya memiliki barisan pemain import berkualiti yang menjadi antara tonggak penting pasukan dalam saingan Liga Malaysia. Menariknya, terdapat tiga pemain import The Red Giants yang dilihat mempunyai potensi untuk menjadi prospek naturalisasi Harimau Malaya pada masa akan datang.
Tiga nama yang dimaksudkan ialah Alex Agyarkwa, Richmond Ankrah dan Chrigor Moraes.
Alex Agyarkwa (Posisi Tengah)
Nama Alex Agyarkwa sememangnya menarik untuk diberi perhatian. Pemain kelahiran Mampong, Ghana itu sudah beraksi di Malaysia sejak Mei 2021 dan sekiranya memenuhi segala syarat ditetapkan, tempoh panjangnya beraksi dalam saingan tempatan menjadikan dirinya antara calon yang boleh dipertimbangkan.
Selangor juga telah meyuarakan hasrat untuk menaturalisasikan Agyarkwa pada musim ini sebagai salah satu strategi jangka panjang pasukan.
Ketenangan Agyarkwa di bahagian tengah semakin terserlah ketika menjalani tempoh pinjaman bersama Negeri Sembilan pada musim 2025-2026. Dia bukan sahaja berperanan sebagai enjin pasukan, malah turut menjadi antara arkitek utama dalam menggerakkan permainan dari bahagian tengah.
Kemampuannya beraksi sebagai pemain tengah bertahan selain mempunyai kualiti hantaran kreatif mampu memberikan variasi tambahan sekiranya diberi peluang menyarung jersi Harimau Malaya. Lebih menarik lagi, Agyarkwa baru berusia 26 tahun dan masih mempunyai tempoh yang lebih lama untuk menyumbang kepada skuad kebangsaan sekiranya proses naturalisasi itu dapat direalisasikan.
Richmond Ankrah (Posisi Pertahanan Tengah)
Richmond Ankrah turut boleh menjadi prospek menarik untuk posisi pertahanan tengah. Berusia 26 tahun, Ankrah sudah beraksi di Malaysia sejak Julai 2022 dan jika terus kekal dalam saingan tempatan, dijangkakan pada Julai 2027 beliau akan melengkapkan tempoh lima tahun yang menjadi antara perkara penting dalam kelayakan naturalisasi.
Mempunyai ketinggian sekitar 1.90 meter, Ankrah memiliki kelebihan dari segi fizikal selain kekuatan dalam perebutan bola. Dia juga pernah dipinjamkan ke Penang FC pada musim 2024-2025 dan menjadi antara tonggak utama Harimau Kumbang ketika itu.
Walau bagaimanapun, ketika ini Ankrah berdepan cabaran sengit untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama Selangor yang dibarisi ramai pemain berkualiti.
Chrigor Moraes (Posisi Penyerang)
Chrigor Moraes mungkin menjadi nama yang paling menarik perhatian berdasarkan rekod jaringannya. Dengan usia Bergson yang sudah mencecah 35 tahun, kehadiran Chrigor yang baru berusia 25 tahun boleh dilihat sebagai salah satu pilihan jangka panjang sekiranya Malaysia memerlukan penyerang naturalisasi pada masa akan datang.
Namun, perjalanan Chrigor masih panjang kerana penyerang kelahiran Brazil itu baru beraksi di Malaysia sejak Julai 2025. Ini bermakna masih ada tempoh yang perlu dilalui sebelum dia mencapai tempoh kelayakan berkenaan.
Dengan prestasi dan ketajamannya di hadapan gol, ini membuatkan ada suara yang berharap Chrigor terus kekal beraksi di Malaysia sehingga tiba tempoh matang untuk dipertimbangkan sebagai pemain naturalisasi Harimau Malaya.
Walau apa pun, perlu diingatkan bahawa naturalisasi boleh menjadi salah satu jalan singkat untuk memperkuatkan skuad Harimau Malaya dalam jangka masa tertentu, namun usaha membangunkan bakat tempatan tidak seharusnya dilupakan demi bola sepak negara pada masa hadapan.