Selangor Rancang Naturalisasi Alex Agyarkwa
MakanBola
SELANGOR FC

Kelab Bola Sepak Selangor (SFC) merancang untuk menaturalisasikan pemain tengah mereka, Alex Agyarkwa, pada musim akan datang sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang pasukan.

Agyarkwa mula tiba di Malaysia pada 31 Mei 2021 apabila menyertai skuad The Red Giants. Beliau kemudiannya berhijrah ke Negeri Sembilan pada awal musim ini sebelum kembali menyarung jersi Selangor pada jendela perpindahan kedua.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Dr Shahril Mokhtar, pengambilan Agyarkwa sejak awal lagi merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan jangka panjang kelab, memandangkan potensinya sebagai pemain muda ketika itu.

“Beberapa tahun lalu, ketika kami merekrut Alex, ia adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang. Saya masih ingat, ketika itu usianya sekitar 20 tahun, jika tidak silap.

“Dia memerlukan masa untuk mengasah kemahiran, namun jelas dia memiliki kualiti sebagai pemain yang baik. Insya-Allah, kami akan meneruskan perancangan tersebut,” katanya.

Tambah beliau lagi, Agyarkwa wajar diberikan lebih banyak peluang beraksi bagi mengembangkan lagi prestasinya, malah menganggap pemain itu antara aset terbaik yang dimiliki Selangor ketika ini.

“Dia hanya memerlukan lebih banyak minit permainan. Itu yang saya lihat. Saya tidak mengatakan dia yang terbaik, tetapi dia antara yang terbaik pilihan utama yang kami ada buat masa ini,” ujar beliau seperti dipetik di laman X Astro Arena.

Kali terakhir Agyarkwa beraksi adalah dalam perlawanan menentang KL City pada 15 Mac lalu, yang menyaksikan Selangor meraih kemenangan 3-2 ke atas The City Boys.