Nilai tebusan yang dimiliki oleh tonggak tengah Selangor FC, Alex Agyarkwa dianggarkan mencecah RM6 Juta.
Tonggak berbisa itu dipinjamkan oleh Selangor ke Negeri Sembilan pada awal musim 2025-26 dan menjadi nadi tengah skuad Jang pada separuh musim pertama.
Beliau beraksi sebanyak sembilan perlawanan di bawah kendalian Nidzam Jamil dan meraih penilaian tertinggi dalam kalangan tonggak Negeri Sembilan.
Menurut catatan laman Sofascore, Alex menerima purata 7.43 mata hasil aksi cemerlang pada separuh musim pertama di Negeri Sembilan – aksi terbaiknya adalah ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan 8.5 mata dan PDRM (8.6).
Beliau bagaimanapun telah pulang ke Selangor setelah dipanggil semula untuk memperkuat skuad Merah Kuning bagi baki musim 2025-26.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NSFC, Faliq Firdaus tidak dapat memenuhi permintaan peminat pasukan yang mahu melihat tonggak berusia 26 tahun itu kekal bersama skuad Jang.
Hal ini selepas pemain itu memiliki klausa perpindahan sekitar RM6 Juta yang diletakkan oleh Selangor FC menjadikan perpindahannya sukar direalisasikan.
“Tuan, ada modal beli Alex musim hadapan,” soal Syameer Azmi.
“Klausa pelepasan RM6 Juta,” jelas Faliq menjawan pertanyaan tersebut.

Negeri Sembilan kini menduduki tangga ketujuh Liga Super dengan 18 mata selepas 17 perlawanan yang diharungi.