Bekas pemain pertahanan kebangsaan, S. Subramaniam menyifatkan Chinese Taipei bukan lawan sebenar Malaysia dengan mengambil kira rekod perlawanan yang lepas.
Hal ini dinyatakan beliau kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom untuk Nadi Arena semalam.
Subramaniam berpandangan sedemikian selepas melihat skuad negara mendominasi pasukan yang diberi jolokan The Blue Wings itu dalam aksi kedua Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026 pada November lalu.
Harimau Malaya mencipta banyak peluang dalam perlawanan itu tetapi hanya meraih satu gol menerusi pemain gantian, Darren Lok pada minit ke-72.
Gol penyerang Sabah FC itu sudah cukup memastikan skuad negara meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Chinese Taipei.
Atas sebab itu, Subramaniam melihat Harimau Malaya perlu memanfaatkan setiap kelebihan yang ada termasuk kelebihan di tempat sendiri untuk menewaskan The Blue Wings.
“Saya lebih merasakan kita (Malaysia) tidak berdepan masalah bila bertemu Chinese Taipei tempoh hari (November lalu). Ketika kita bertemu dengan Chinese Taipei, kita mempunyai banyak peluang cuma kita tidak menyudahkan peluang menjadi jaringan.
“Saya menganggap perlawanan itu dikuasai satu pihak saja. Chinese Taipei bagi sayalah bukan lawan kita (Malaysia) sebenarnya.
“Lagipun, kita bertemu (Chinese Taipei) di gelanggang sendiri. Cuma yang membantutkan persiapan kita ialah ketiadaan pemain-pemain utama (seperti) Faisal Halim dan Arif Aiman (Hanapi). Jadi, itu akan membantutkan persiapan kitalah,” katanya.
Malaysia bakal menentang Chinese Taipei untuk aksi terakhir Kumpulan D di Stadium Nasional Bukit Jalil yang berlangsung esok.