Sabah ‘Bedil’ Kasuka
MakanBola
Sabah FC

Sabah memulakan persiapan pra-musim 2025/26 dengan langkah kanan apabila membelasah kelab Brunei, Kasuka FC 4-0 dalam aksi persahabatan tertutup.

Kasuka menjadi pilihan Sang Badak kerana status mereka sebagai juara Liga Super Brunei 2024/25.

Aksi tertutup yang berlangsung di Stadium Likas pada 5 Julai lalu menyaksikan Martin Stano memilih menurunkan barisan terkuat.

Ini termasuk memberi peluang kepada penyerang Bosnia-Herzegovina, Ajdin Musagic untuk mengetuai jentera serangan Sabah.

Pemain sayap Sepanyol, Miguel Cifuentes membuka tirai jaringan buat tuan rumah seawal minit kelapan. 10 minit selepas itu, giliran Musagic pula mencetak nama sebagai penjaring.

Bersambung pada babak kedua, bekas penyerang BSK Bijelo Brdo itu sekali lagi merobek gawang Kasuka menerusi gol pada minit ke-68.

Penyerang muda Sabah, Azhad Harraz Arman melengkapkan malam cemerlang tuan rumah dengan meledakkan gol pada minit ke-90.

Kini, fokus anak buah Stano beralih pula kepada aksi ASEAN Charity Shield 2025. Aksi ini akan menemukan Sang Badak dengan pasukan gergasi Thailand, Buriram United pada 13 Julai ini.