Pemain sayap lincah, Saddil Ramdani memberikan khabar gembira kepada Sabah FC.
Tonggak berusia 25 tahun itu terpaksa diketepikan dalam beberapa perlawanan susulan kecederaan sekaligus menjejaskan rentak pasukan.
Kehilangan rakan sepasukan yang beraksi pada posisi serangan juga menyebabkan The Rhinos tewas dalam beberapa aksi terakhir.
Tamparan hebat diterima apabila tersingkir pada pusingan suku akhir Piala FA kepada Terengganu selain tunduk dua aksi terakhir Liga Super kepada KL City dan juga Selangor FC.
Saddil kembali menceriakan kem Sabah dan juga pengendali, Datuk Ong Kim Swee apabila kembali menjalani latihan bersama pasukan.
Beberapa pemain lain yang mengalami kecederaan sebelum ini seperti Damien Lim dan Gabriel Peres juga sudah kembali menjalani latihan.
Sebelum ini, Kim Swee sudah memberitahu bahawa kehilangan beberapa tonggak utama telah menjejaskan persiapan pasukannya sekaligus menyebabkan mereka tidak dapat mempamerkan rentak sebenar.
Kehadiran tonggak baharu, Joao Pedro juga diharapkan mampu meningkatkan semula ketajaman jentera serangan Sabah untuk bersaing di Liga Super.
Sabah bakal bertemu Terengganu bagi aksi Liga Super berikutnya pada 15 September 2024 di Likas.