Sabah FC menjalin kerjasama strategik dengan syarikat telekomunikasi terkemuka, redONE Mobile bagi menghadapi musim 2025/26.
Kerjasama strategik ini dilihat bukan saja membantu pembangunan bola sepak di Sabah. Malah, ini akan membantu komuniti tempatan menerusi usaha penjenamaan dan penglibatan kedua-dua pihak.
Kerjasama ini dimeterai dalam satu majlis yang diadakan pada hari ini. redONE Mobile diwakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ameen Amaendran.
Sabah pula diwakili Pengurus Besar pasukan, Md. Joh Hj. Wid. Majlis turut disaksikan Ketua Pegawai Jualan (CSO) redONE Mobile, Ben Teh Beng Hock, Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Shahelmey Yahya dan Timbalan Presiden SAFA, Datuk Hj. Awang Kadin Tang.
Kerjasama ini dilihat bakal membantu Sabah mengatur langkah untuk kempen musim 2025/26. Selain Liga Malaysia (Liga M), Sang Badak bakal bersaing dalam Shopee Cup.
Ini disebabkan Sabah dan Kuching City FC masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat liga musim 2024/25. Dua pasukan tersebut layak secara merit ke saingan berprestij Asia Tenggara itu.
Sabah kini dilaporkan berusaha mendapatkan pemain tengah Australia, Dean Pelekanos bagi memperkuatkan pasukan itu untuk musim depan.