Sabah Tempang Tanpa Dominic Tan
MakanBola
Sabah FC
Sponsors

Sabah FC menerima tamparan hebat apabila bek tengah utama, Dominic Tan mengalami kecederaan.

Bek tengah berusia 27 tahun itu mengalami kecederaan pada separuh masa kedua aksi final Pestabola Merdeka 2024 antara Malaysia dan Lubnan.

Ad

Selepas melakukan terjahan ke atas penyerang The Cedars, Omar Chaaban, Dominic dilihat tidak dapat meneruskan permainan. Ini menyebabkan beliau diusung keluar dari padang oleh pasukan perubatan.

Ad

Situasi ini mendorong pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente memasukkan Feroz Baharudin sebagai penggantinya. Malaysia muncul juara Pestabola Merdeka 2024 dengan meraih kemenangan 1-0 hasil jaringan Romel Morales.

Ramai penyokong negara percaya masalah kecederaan Dominic terjadi kerana kualiti padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang kurang elok. Isu sama turut mengakibatkan bek kanan Terengganu FC, Azam Azmi Murad berehat lama akibat kecederaan buku lali.

Ad

Azam mengalami kecederaan itu dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 antara Malaysia dan Oman pada Mac lalu. Kecederaan buku lali turut mengakibatkan beliau terlepas peluang menyertai Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) pada April lalu.

Ad

Isu ini turut disentuh pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee. Beliau melihat isu kualiti padang SNBJ seakan tiada kesudahan.

Ad

“Tiada cerita berakhir! Malu dan mahu menuding jari lagi pada SNBJ atau alasan?,” katanya dalam ciapan balas kepada wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran.

Dalam satu ciapan berbeza, Kim Swee mahu isu kualiti padang SNBJ ditangani segera. Ini kerana jika dibiarkan, ia menjejaskan kualiti permainan pasukan yang beraksi dan mengancam keselamatan pemain.

“Kualiti padang yang teruk bukan saja jejaskan keselamatan pemain tetapi juga kualiti keseluruhan permainan. Kami harap selepas ini, langkah-langkah konkrit diambil bagi memastikan padang dijaga pada tahap yang terbaik,” ujarnya.

Sabah dijangka memanfaatkan khidmat Gabriel Peres, Haris Stamboulidis, Rawilson Batuil, Naaim Firdaus dan Hanafie Tokyo sebagai alternatif buat Dominic di bahagian bek tengah.

Sang Badak kembali mengharungi kempen liga dengan menentang Terengganu FC di Stadium Likas pada 15 September ini.