Peledak Korea Selatan, Park Jung-bin menjadi pemain terbaru menyertai Sabah FC.
Perpindahan pemain berusia 32 tahun itu diumumkan pengurusan The Rhinos menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi pasukan berkenaan.
“Selamat datang ke Negeri Di Bawah Bayu, Park Jung-bin,” kata kelab dalam satu kenyataan.
“Dari Busan ke Kota Kinabalu, penyerang dan pemain tengah menyerang baharu kita tiba dari Visakha FC dengan membawa pengalaman dari liga utama sekitar Eropah dan Asia.
Jung-bin mengikut jejak beberapa pemain Korea Selatan yang pernah mewakili Sabah seperti bekas kapten, Park Tae-su dan Ko Kwang-min.
Sabah berharap bekas pemain Viborg FF itu cukup berbisa di depan gol baik sebagai pemain sayap atau penyerang. Jung-bin meledakkan 13 gol dan mencipta tujuh bantuan gol bersama Visakha pada musim lalu.
Bekas tonggak Hobro IK itu menjadi tonggak import baharu kedua menyertai Sabah selepas pemain tengah Filipina, Oskari Kekkonen.
Selain duo berkenaan, The Rhinos turut merekrut empat bekas pemain Star City FC. Mereka ialah Fadzrul Danel, Fayadh Zulkifli, Halim Saari dan Hanafie Tokyo.