Safawi Rasid Dalam Radar DPMM
MakanBola
KL City FC

DPMM FC mula menzahirkan cita-cita mereka untuk musim hadapan dengan ingin mendapatkan pemain sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid.

Hasrat itu dizahirkan pengurusan DPMM menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi mereka.

“DPMM FC sedia berunding bagi mendapatkan penjaring terbanyak KL City (Kuala Lumpur City FC), Safawi Rasid. Safawi Rasid ketika ini beraksi untuk KL City secara pinjaman dari JDT (Johor Darul Ta’zim).

“Safawi Rasid menunjukkan prestasi cemerlang dengan menjaringkan 13 gol musim ini dengan baki satu perlawanan liga,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Kenyataan ini secara tidak langsung mendedahkan siapa pemain Harimau Malaya yang berada dalam radar pasukan itu.

Sebelum ini, DPMM memaklumkan mahu mendapatkan beberapa pemain skuad kebangsaan Malaysia untuk musim hadapan. Meskipun begitu, mereka tidak mendedahkan bilangan atau identiti pemain yang dimahukan.

Selain Safawi, DPMM sebelum ini turut menyatakan minat mendapatkan dua lagi pemain pinjaman KL City, Ryan dan Declan Lambert serta bek tengah JDT, Junior Eldstal.

Pasukan itu juga dilaporkan berminat mendapatkan pemain pertahanan dan kapten Persita Tangerang, Muhammad Toha.