Safee Sali Letak Jawatan Presiden PFAM
MakanBola
PFA Malaysia

Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).

Keputusan itu diumumkan menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di akaun media sosial rasmi beliau.

“Hari ini, saya mengumumkan secara rasmi peletakan jawatan saya sebagai Presiden PFAM. Ia telah menjadi perjalanan yang memuaskan bekerja bersama individu-individu yang penuh semangat.

“Saya akan terus menyokong PFAM dengan cara yang baharu dan teruja untuk melihat apa yang bakal datang. Terima kasih kepada semua atas kenangan yang hebat,” katanya.

Selepas pengumuman tersebut dibuat, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PFAM, Izham Ismail mengucapkan terima kasih atas kepimpinan dan khidmat yang diberi Safee kepada badan induk itu.

“Terima kasih atas kepimpinan dan khidmat anda, bos! Bangga dan satu penghormatan untuk melalui perjalanan ini bersama anda.

“Saya ucapkan selamat berjaya untuk usaha anda yang seterusnya,” katanya di ruang komen.

Safee telah menggalas peranan sebagai presiden badan induk tersebut selama dua penggal. Beliau dipilih sebagai presiden untuk penggal 2019-2021 pada November 2019.

Safee kemudiannya dipilih sekali lagi untuk menerajui PFAM untuk penggal 2021-2023. Beliau dibantu seorang lagi bekas pemain Harimau Malaya, Razman Roslan selaku Timbalan Presiden PFAM.