Bekas penyerang berbisa Harimau Malaya, Safee Sali baru-baru ini mengumumkan bakal menjual trofi penjaring terbanyak Piala AFF 2010 yang dimenanginya 15 tahun lalu.
Tindakan Safee menjual trofi tersebut mengundang seribu tanda tanya di kalangan peminat bola sepak tempatan yang mana rata-rata daripada mereka berharap supaya trofi tersebut disimpan dan tidak dijual.
“Sudah tiba masanya untuk melepaskan barang yang mempunyai nilai sentimental bagi saya. Saya tidak akan selamanya berada di dunia ini. Saya sudah mencapai dan menjadi apa yang saya inginkan sejak kecil. Kini, adalah masa untuk anda menyimpan semua ini untuk koleksi dan kenangan anda.
“Seperti gajah yang meninggalkan tulang dan harimau yang meninggalkan belang, manusia meninggalkan legasi dalam bentuk nama yang di kenang,” coret Safee Sali di laman Instagram.
Beberapa penyokong memberikan saranan buat Safee untuk menyimpan trofi tersebut sebagai kenangan namun Safee membalas komen dengan jawapan yang ringkas namun padat dengan isi.
“Biar betul abang. Semua dijual. Tinggal satu buat kenangan untuk anak-anak,” saran salah seorang peminat beliau di Instagram.
Safee membalas komen tersebut, “Biar mereka cipta kejayaan dan kenangan sendiri. Lahirkan ramai lagi insan yg berguna utk bangsa, negara dan agama,” jawab Safee kepada peminatnya itu.
Untuk rekod, ini bukanlah kali pertama Safee menjual hadiah dan koleksi kejayaan dalam karier bola sepak kerana sebelum ini, beliau juga telah menjual beberapa helai jersi dan pingat kemenangan.