Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali mengingatkan PDRM FC agar tidak memandang enteng cabaran Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
PDRM yang juga juara bertahan MFL Challenge Cup berdepan Kedah dalam aksi separuh akhir kedua kejohanan itu. Kedua-dua pasukan terikat 3-3 secara agregat pada 18 Januari lalu.
The Cops terlebih dahulu di hadapan menerusi Bruno Suzuki dan Ifedayo Olusegun. Sang Kenari bangkit menyumbat tiga gol menerusi Milos Gordic, Aiman Afif Md Azizul dan Akmal Zahir.
Eizrul Ashraff Nor Effendy memastikan kedua-dua pasukan terikat 3-3 secara agregat untuk aksi separuh akhir kedua.
Meskipun Kedah dibelenggu pelbagai isu di luar padang, barisan pemain dan staf kejurulatihan pasukan itu berusaha mempamerkan prestasi terbaik di atas padang.
Atas sebab itu, Safee melihat aspek ini menjadikan Sang Kenari sebagai lawan sukar yang perlu diatasi PDRM jika mereka mahu mara ke final.
“Kedah walaupun banyak cerita di luar padang tetapi mereka menunjukkan semangat yang baik dan positif. Ketua jurulatih dan barisan pemain sentiasa menunjukkan semangat juang di atas padang,” katanya semasa menjadi panel Nadi Bola.
“Dan PDRM kita boleh katakan pasukan yang mencipta kejutan musim ini. Mereka sentiasa beraksi dengan baik. Mereka tak boleh pandang rendah masalah yang dihadapi pasukan Kedah.
“Sebab semangat beraksi dalam semi final itu mengatasi segala-galanya. Jadi, PDRM harus berwaspada dengan kebangkitan pasukan Kedah.”
Kedah bakal mendapat suntikan kehadiran penyokong yang ramai untuk aksi separuh akhir kedua di Stadium Darul Aman.