Lagenda bola sepak negara, Safee Sali menyenaraikan 4 kelemahan Malaysia berdepan Oman dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 tempoh hari.
Pasukan bimbingan Kim Pan-gon terpaksa akur apabila tewas dua kali bertemu pasukan ke-77 dunia itu dengan keputusan 2-0.
Menurut bekas penyerang kebangsaan itu, terdapat beberapa aspek ketara yang perlu ditambah baik oleh Harimau Malaya menjelang aksi bertemu Kyrgyzstan pada Jun nanti.
“Kita tak ada match fitness, mungkin kerana dua bukan kita tiada perlawanan liga. Tapi yang saya hairan kenapa Dion Cools pun macam tak ada perlawanan juga. Dia beraksi di Thailand tetapi tempoh hari beraksi seperti orang yang berpuasa.”
Safee menganggap ketiadaan seorang pemain berjiwa pejuang dan sanggup bermati-matian telah memberi kesan kepada persembahan pasukan negara.
“Secara keseluruhannya, saya rasa pasukan kita tiada kepimpinan dalam padang. Hanya memakai lilitan kapten tetapi tiada kepimpinan.”
“Tak ada keserasian langsung, semua nak bermain secara solo. Tak ada larian untuk meminta bola, tak ada yang mahu menggerakkan permainan. Semua hanya berdiri tegak dan melihat bola.”
Faktor lain yang menjadi perhatian Safee adalah reaksi para pemain terutamanya untuk memecahkan kawalan jentera tengah Oman yang kebal menyebabkan Harimau Malaya mengalami kekalahan.
“Reaksi kita juga lambat. Perkara ini subjektif, boleh jadi padang, boleh jadi juga sebab latihan dan lain-lain. Keempat bagi saya adalah keserasian. Semua bermain secara solo macam nak menunjukkan sesuatu,” jelasnya dalam audio siar Sports Tarik.
Malaysia akan bertemu Kyrgyztan pada bulan Jun dalam misi penting untuk layak ke pusingan seterusnya dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026.