Bekas penyerang Harimau Malaya, Safee Sali terkenang perlawanan bertemu New Zealand 18 tahun yang lalu di mana menyaksikan Malaysia tewas sekali dan seri sekali.
Tersemat di ingatan Safee apabila dirinya berjaya meledak jaringan buat skuad kebangsaan menentang pasukan yang jauh lebih tinggi rankingnya berbanding Malaysia.
“2006 itu memang satu nostalgia menentang pasukan New Zealand, All Whites, dan saya masih ingat suasana pasukan ketika itu.
“Kami bermain dua kali menentang mereka, satu di Aukland dan satu di Kingston. Tewas sekali dan seri sekali dan saya dapat menjaringkan gol,” jelas Safee kepada Stadium Astro.
Bagi Safee, situasi 18 tahun lalu dan apa yang Harimau Malaya ada kini berbeza kerana dahulu skuad kebangsaan dibarisi 100 peratus anak tempatan manakala kini ianya dibantu dengan pemain warisan dan naturalisasi.
“Biarpun dengan semua pemain tempatan, kami dapat memberikan saingan dengan New Zealand, yang ketika itu berada di ranking yang agak tinggi.
“Kali ini, Harimau Malaya dibarisi oleh pemain warisan, naturalisasi dan tempatan, jadi ia mungkin akan memberikan impak yang positif,” katanya lagi.
Malaysia dijadualkan bertemu New Zealand dalam aksi persahabatan antarabangsa pada 14 Oktober ini. Namun sebelum bertemu New Zealand, Malaysia bakal bertemu kelab Auckland FC bagi perlawanan pemanas badan.