Skuad Harimau Malaya dijadualkan menghadapi kelab dari New Zealand, Auckland FC pada Jumaat ini.
Pasukan kebangsaan kendalian Pau Marti Vicente kini berada di New Zealand untuk aksi persahabatan bertemu skuad All Whites pada 14 Oktober ini ketika jendela antarabangsa FIFA.
Sebelum menentang pasukan New Zealand, skuad negara juga dimaklumkan sebelum ini bakal mengadakan satu aksi pemanas badan bertemu sebuah kelab domestik di sana.
Menerusi makluman terkini wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, kelab New Zealand yang dimaksudkan tersebut merupakan Auckland FC yang dijadualkan bertemu Malaysia pada 9 Oktober ini.
“Auckland FC yang dibarisi bintang Jepun Hiroki Sakai akan menjadi lawan skuad Harimau Malaya dalam aksi persahabatan tertutup Jumaat ini,” tulis Zulhelmi di laman X.
Auckland FC merupakan pendatang baru saingan A-League musim 2024/25 dan dibarisi bintang seperti Hiroki Sakai, bekas pemain Chile B20, Luis Felipe Gallegos dan bekas pemain Liverpool, Jake Brimmer.