Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali ingin melihat keupayaan Terengganu FC tanpa peledak utama mereka, Ivan Mamut.
Sejak tiba di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada musim 2023, penyerang berusia 27 tahun itu menambat hati penyokong dengan etika kerja kerasnya dan berbisa di depan gol.
Musim tersebut menyaksikan Mamut menyumbat 17 gol dalam semua kejohanan termasuk kempen Piala AFC musim 2023/24.
Walau bagaimanapun, Terengganu terpaksa melupakan khidmat beliau untuk beberapa perlawanan awal Liga Super. Ini disebabkan Mamut mengalami kecederaan semasa sesi latihan pra-musim baru-baru ini.
Atas sebab itu, Safee ingin melihat sejauh mana keupayaan skuad Peteh beradaptasi tanpa kelibat penyerang Croatia itu.
Ketika ini, Terengganu memiliki peledak sandaran iaitu Ismaheel Akinade yang dibawa masuk dari Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) untuk musim ini.
“Dengan penambahbaikan pada tahun ini seperti Safawi Rasid, Akhyar (Rashid), Ismaheel Akinade (dan) Manuel Ott, jadi saya rasa itu akan memperkuatkan pasukan Terengganu di bahagian tengah.
“Dan satu cerita yang menarik daripada Terengganu ialah kita nak lihat seberapa jauh dia boleh bersaing dalam liga tanpa Ivan Mamut. Masuknya Akinade, Ivan Mamut tiada.
“Tahun lepas Ivan Mamut banyak membantu pasukan Terengganu. Jadi, bila ada perubahan di bahagian serangan, kita akan lihat betapa efektifnya Akinade di bahagian serangan,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola Khas untuk Astro Arena semalam.
Bisa Akinade dijangka ditagih jurulatih Terengganu, Tomislav Steinbruckner apabila pasukan itu turun menentang Perak FC esok.