Safiq Rahim Impi Lihat JDT Ke Piala Dunia Kelab
MakanBola
Johor Southern Tigers

Bekas arkitek Harimau Malaya, Safiq Rahim berharap dapat melihat Johor Darul Ta’zim (JDT) layak beraksi ke Piala Dunia Kelab.

Hasrat itu dizahirkan bekas jeneral tengah Harimau Selatan itu selepas melihat JDT melakar rekod baru dunia untuk siri perlawanan tanpa kalah terpanjang dengan 109 perlawanan.

Safiq melihat kelayakan ke kejohanan tersebut harus menjadi sasaran JDT seterusnya. Ini kerana jika perkara itu berlaku, JDT bukan saja membawa nama Malaysia tetapi juga rantau ASEAN dan salah satu daripada empat wakil Asia.

“Sudah semestinya saya mahukan pasukan kita dan peminat-peminat bola sepak dalam negara untuk melihat JDT mewakili Malaysia, Asia Tenggara dan Asia dalam Piala Dunia Kelab.

“Jadi, kita sama-sama doakan dan sokong pasukan JDT di pentas tertinggi bola sepak dunia kelab, Piala Dunia Kelab,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Safiq ditemui selepas majlis cabutan undi Piala FA musim 2026/27 yang berlangsung pada Isnin. Beliau turut berharap JDT terus tampil lebih cemerlang selepas demi arena bola sepak negara.

“Syukur Alhamdulilah, JDT pasukan yang terbaik dalam Malaysia ketika ini dan mencipta sejarah kelab dalam negara,” tambahnya lagi.

“Kita pernah berada dalam pasukan, saya rasa ini pencapaian sangat baik dalam industri sukan bola sepak negara. Saya harap JDT tidak akan berhenti di sini dan terus mencipta sejarah dalam arena bola sepak negara.”

Jika JDT ingin layak ke Piala Dunia Kelab, JDT perlu sama ada memenangi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) atau tampil konsisten sekurang-kurangnya suku akhir. Hal ini kerana dapat menjamin kedudukan lebih baik dalam ranking kelab AFC.

Piala Dunia Kelab 2025 menyaksikan empat wakil Asia beraksi iaitu Urawa Red Diamonds, Al-Hilal, Ulsan HD dan Al-Ain.