Ulsan HD dan Real Madrid bakal berdepan cabaran berbeza dalam saingan peringkat kumpulan Piala Dunia Kelab FIFA 2025.
Kesemua 32 pasukan yang layak ke kejohanan itu telah diundi menerusi cabutan undian yang diadakan di Miami pada 5 Disember lalu.
Ulsan yang dibimbing bekas pengendali Malaysia, Kim Pan-gon berada dalam Kumpulan F bersama Borussia Dortmund. Kelab Brazil, Fluminense dan kelab Afrika Selatan, Mamelodi Sundowns turut berada dalam kumpulan sama.
Los Blancos yang juga juara bertahan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) pula berada dalam Kumpulan H bersama kelab gergasi Arab Saudi, Al-Hilal. Pachuca dan Red Bull Salzburg turut berada dalam kumpulan sama.
Juara bertahan Piala Dunia Kelab FIFA, Manchester City berada dalam Kumpulan G. Anak buah Pep Guardiola akan dicabar juara Liga Juara-Juara AFC (ACL), Al-Ain, Wydad AC dan Juventus.
Lionel Messi bakal mengetuai cabaran Inter Miami dalam Kumpulan A. Kelab Major League Soccer (MLS) itu bakal dicabar FC Porto, Palmeiras dan wakil Mesir, Al-Ahly.
Juara Copa Libertadores 2024, Botafogo bakal berdepan cabaran sukar dalam Kumpulan B. Pasukan yang dilatih Artur Jorge itu bakal dicabar Paris Saint-Germain, Atletico Madrid dan satu lagi kelab MLS, Seattle Sounders.
Bayern Munich pula berada dalam Kumpulan C bersama Boca Juniors, Benfica dan Auckland FC. Chelsea bakal ditentang Esperance de Tunis, Flamengo dan Leon dalam Kumpulan D.
Juara ACL 2022, Urawa Red Diamonds pula berdepan cabaran Inter Milan, Monterrey dan River Plate dalam Kumpulan E.
Al-Ahly dan Inter Miami bakal membuka cabaran Piala Dunia Kelab FIFA menerusi aksi pertama Kumpulan A pada 15 Jun 2025.