Bek tengah Selangor FC, Safuwan Baharudin bukan pemain pertahanan pertama yang merekodkan jaringan hatrik dalam sejarah saingan Liga Malaysia (Liga M).
Pemain pertahanan Singapura itu mencuri tumpuan apabila meledakkan hatrik dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA 2024 menentang Terengganu FC pada 3 Ogos lalu.
Tiga gol beliau dan satu gol daripada penyerang Jordan, Reziq Bani Hani memastikan Merah Kuning layak ke final Piala FA 2024 dengan keputusan agregat 6-4.
Meskipun begitu, Safuwan bukanlah pemain pertama yang melakar rekod berkenaan. Penghormatan itu jatuh kepada kapten Penang FC, Rafael Vitor mengikut maklumat Transfermarkt.
Vitor melakar rekod tersebut apabila skuad Harimau Kumbang berentap dengan Perak FC dalam saingan Liga Super pada 3 Ogos 2021. Pasukan itu melakar kemenangan besar 5-3 di Stadium Perak.
Menariknya, Vitor turut mencipta rekod gol terpantas liga di mana ia dijaringkan selepas sembilan saat separuh masa pertama bermula.
Selain beliau, Penang yang ketika itu dibimbing Tomas Trucha turut mencipta dua lagi jaringan menerusi Casagrande dan Abdul Azim Rahim. Sementara penyerang import The Bos Gaurus pada ketika itu, Nana Poku meledakkan tiga gol.
Prestasi baik Penang pada musim 2021 membantu pasukan itu menduduki tangga ketiga liga pada akhir musim di belakang Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
Pencapaian ini timbul tatkala Vitor baru saja meraikan penampilan ke-100 bersama skuad Harimau Kumbang. Pencapaian itu dilakar apabila Penang menewaskan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 3-0 pada 1 Ogos lalu.