Kapten Penang FC, Rafael Vitor meraikan penampilan ke-100 bersama pasukan itu dengan meledakkan gol semasa menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) baru-baru ini.
Sejak menyertai Penang pada Januari 2020, tiada siapa menyangka bek tengah Brazil itu akan kekal di Pulau Pinang untuk satu tempoh yang lama.
Justeru, tidak hairanlah aksi Liga Super menentang Kelantan DN pada 1 Ogos lalu dilihat satu detik istimewa buat Vitor. Aksi itu menyaksikan Penang merekodkan kemenangan 3-0 ke atas Kijang Emas.
Selain Vitor, rakan senegara Rodrigo Dias dan Nik Akif Syahiran Nik Mat turut menyumbat gol buat skuad Harimau Kumbang. Menariknya, gol bek tengah berusia 31 tahun itu merupakan gol ke-17 bersama Penang.
“Satu hari yang akan diingati untuk Rafael Vitor! Menjaringkan gol ke-17 untuk Penang dalam penampilan ke-100 seperti nombor jersinya! Satu pencapaian yang hebat!” kata kelab dalam satu kenyataan.
Bagi ramai penyokong Penang, pencapaian ini merupakan satu pencapaian yang hebat lebih-lebih lagi dengan status Vitor sebagai kapten pasukan.
Bagi seorang penyokong bernama Jeffrey Chew, Vitor dilihat pemimpin sebenar yang mengetuai Penang tanpa mengira masa susah mahupun senang.
“Tidak ada yang penting selain melihat lelaki ini memimpin pasukan melalui masa terburuk dan terbaik. Beliau adalah pemimpin sejati yang bermain dengan hatinya untuk permainan,” katanya menerusi satu komen di Facebook.
Kepimpinan Vitor dijangka ditagih jurulatih Harimau Kumbang, Akmal Rizal Ahmad Rakhli untuk baki kempen Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25. Selepas ini, Penang akan menentang Kuching City FC pada 11 Ogos ini.