Penang gah menundukkan cabaran Kelantan DN di Stadium Bandaraya Pulau Pinang untuk meraih tiga mata berharga dalam saingan Liga Super.
Akmal Rizal mempertaruhkan khidmat pemain utama seperti Nik Akif Syahiran, Syamer Kutty Abba, Khairu Azrin, Neto, Adib Ra’op manakala Rafael Vitor memakai lilitan kapten pasukan.
Kelantan DN turun dengan misi untuk bangkit setelah tewas di gelanggang sendiri sebelum ini kepada Perak masih mengekalkan Oday Kharoub selaku kapten pasukan manakala AlFaiz diberikan kepercayaan untuk menjaga gawang gol pasukan.
Penang bermula baik pada awal permainan apabila mengawal penguasaan bola dan beberapa kali cuba memecahkan blok pertahanan Kelantan DN menerusi hantaran tinggi.
Perancangan skuad kendalian Akmal Rizal akhirnya membuahkan hasil apabila penjaga gol Kelantan DN gagal menangkap kemas bola hantaran tinggi sekaligus membenarkan Rodrigo Dias menanduk masuk bola tersebut.
Giliran Nik Akif Syahiran mencetak nama selaku penjaring sekaligus menghadiahkan gol kedua buat Penang pada minit ke-34.
Aksi separuh masa pertama tamat dengan Penang mendahului Kelantan DN 2-0 hasil jaringan Rodrigo dan Nik Akif.
Penang tampil dominan apabila kerap memegang bola dan mengawal permainan sekaligus menyukarkan pasukan Kelantan DN untuk mengatur serangan.
Malang berganda buat skuad kendalian Park Jae-hong apabila Penang meraih sepakan penalti setelah Fakrurrozi menjatuhkan Izzat dalam kawasan kotak penalti.
Rafael Vitor tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk gol ketiga Penang pada minit ke-75 permainan.
Wisel penamat menyaksikan Penang menewaskan Kelantan Darul Naim dengan jaringan 3-0 untuk mendaki tangga ke-7 liga dengan mengumpul 9 mata.
Kelantan DN kini menghuni tangga terakhir liga berdasarkan perbezaan jaringan walaupun berkongsi 3 mata dengan Negeri Sembilan yang berada di tangga ke-12 liga.
Penang seterusnya akan melawan cabaran Kuching City manakala Kelantan DN akan bertemu Selangor untuk aksi Liga Super 2024/2025.