Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) secara rasmi mengumumkan perubahan tarikh penganjuran Piala Asia 2027 yang bakal berlangsung di Arab Saudi susulan perkembangan situasi di rantau berkenaan.
Menerusi kenyataan rasmi pada Selasa, AFC mengesahkan kejohanan edisi ke-19 itu yang pada asalnya dijadualkan berlangsung dari 7 Januari hingga 5 Februari 2027 kini akan dianjak ke tarikh baharu.
Berdasarkan pengumuman tersebut, Piala Asia 2027 akan berlangsung dari 23 Disember 2027 hingga 21 Januari 2028.
Keputusan itu dibuat selepas AFC mengadakan perbincangan menyeluruh serta rundingan rapat bersama Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC) dan Persatuan Bolasepak Arab Saudi (SAFF).
AFC menjelaskan bahawa perubahan jadual berkenaan mengambil kira keadaan luar biasa yang berlaku ketika ini susulan perkembangan di rantau tersebut.
Antara faktor yang diberikan perhatian termasuk kerumitan besar melibatkan aspek logistik serta gangguan perjalanan yang boleh memberi kesan kepada kelancaran penganjuran kejohanan berkenaan.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Penganjur Piala Asia telah meluluskan keputusan untuk menjadualkan semula kejohanan yang bakal menghimpunkan 24 pasukan terbaik Asia itu.
Bagaimanapun, tarikh baharu yang diumumkan tersebut masih perlu dikemukakan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk mendapatkan kelulusan.
Arab Saudi sebelum ini dijadualkan menjadi tuan rumah Piala Asia buat pertama kali dalam sejarah dengan Riyadh, Jeddah dan Al Khobar dipilih sebagai bandar penganjuran.


