Menjelang pertemuan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE), tonggak Jeonbuk Hyundai, Bruno Motta mendedahkan bahawa beliau mengikuti perkembangan Harimau Selatan serta bola sepak Malaysia.
Perkara itu didorong oleh hubungan persahabatannya dengan penyerang JDT, Yago César yang pernah menjadi rakan sepasukannya ketika kedua-duanya beraksi bersama FC Anyang di Korea Selatan pada musim 2025.
Menerusi hubungan tersebut, Motta berpeluang mengikuti perkembangan JDT dan saingan Liga Malaysia selain mendapatkan gambaran mengenai kelab yang bakal menjadi lawan pasukannya itu.
Motta mengakui bahawa beliau sudah mengetahui tahap kekuatan JDT yang dianggapnya sebagai sebuah pasukan berkualiti tinggi.
“Saya tahu Johor berada pada tahap yang tinggi. Saya berkawan dengan Yago César yang bermain bersama Johor. Malangnya, Yago tidak dapat beraksi dalam perlawanan ini.”
Malah, pemain kelahiran Brazil itu turut mengesahkan bahawa mereka masih berhubung selain beliau sering mengikuti perkembangan Liga Malaysia.
“Saya sentiasa berhubung dengannya dan mengikuti perkembangan Liga Malaysia. Tahap persaingan di sana sangat tinggi. Kami juga perlu membuat persiapan dengan cukup rapi,” jelasnya seperti dipetik ChosunBiz.
Dalam masa sama, Motta turut mendedahkan bahawa beliau membuat carian mengenai JDT menerusi media sosial sebelum menghubungi bekas rakan sepasukannya itu.
“Saya mencari maklumat mengenai JDT menerusi media sosial. Saya menghubungi Yago yang pernah bermain bersama saya di Anyang tahun lalu.”
Bagaimanapun, Motta menjelaskan bahawa perbualan mereka tidak menyentuh mengenai perlawanan tersebut, sebaliknya lebih berkisar tentang kehidupan seharian.
“Saya tidak bercakap dengannya mengenai perlawanan itu,” katanya sambil tersenyum.
Kini, Motta bakal berdepan JDT apabila Jeonbuk Hyundai menerima kunjungan Harimau Selatan dalam aksi ACLE di Stadium Jeonju World Cup pada 3 November 2026.


