Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan tiada sebarang pertemuan membabitkan pihak beliau dan para pemain Sang Kenari.
Beliau yang merupakan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berkata kerajaan negeri bersedia meringankan beban tunggakan gaji yang ditanggung Kedah Darul Aman (KDA) FC ketika ini.
“Kerajaan negeri kena salurkan (bantuan) menerusi KFA, KFA akan tolong, kita tak boleh buat secara langsung dengan syarikat swasta (yang uruskan KDA FC).
“Apa-apa yang boleh kita bantu, kita tengok nanti, minta mereka hubungi KFA,” katanya kepada Buletin TV3.
Walau bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tidak boleh sesuka hati mencampuri urusan KDA FC memandangkan status pasukan tersebut yang kini sudah diswastakan.
“Ia urusan syarikat swasta yang kendalikan KDA FC. Saya hanya boleh pertimbangkan untuk campur tangan atau tidak.”
Menurut beliau, tiada sebarang pertemuan bersama para pemain sehingga kini dan hanya mengetahui mengenai isu ini melalui luahanpemain yang ditularkan di media sahaja.
“Setakat ini tiada pemain datang berjumpa saya. Mereka hanya luah melalui media saja,” jelasnya ketika ditemui oleh Buletin TV3 di Dewan Seri Mentaloon.
Tambah beliau lagi, sebelum ini pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar beberapa kali berjumpa beliau namun hanya membincangkan mengenai komitmen lama.
“Ada Tan Sri Daud hubungi dua tiga bulan lepas dan selalu juga jumpa. Tambahan pula kita masih ada komitmen lama yang ditanggung ketika terajui KFA sebelum ini,” ujar beliau.
“KFA masih tanggung bayaran ansuran hutang lama dengan badan berkanun.”
KDA FC kini sedang dibelenggu masalah tunggakan gaji sehingga menyebabkan para pemain memboikot sesi latihan malah ada beberapa pemain yang mula meninggalkan pasukan.