Bintang veteran Thailand, Sarach Yooyen membuat kejutan dengan menyertai kelab divisyen dua Jepun, V-Varen Nagasaki secara pinjaman dari BG Pathum United.
ASEAN Football melaporkan pemain berusia 32 tahun itu telah mencapai persetujuan untuk menyertai kelab J2 League berkenaan selama enam bulan.
Sebelum ini, terdapat laporan yang mengatakan empat pemain Thailand menjadi sasaran beberapa kelab J1 League.
Empat bintang tersebut ialah Supachai Chaided, Poramet Arjvirai, Jaroensak Wonggorn dan Suphanat Mueanta. Keempat-empatnya dikatakan menarik minat Hokkaido Consadole Sapporo, Jubilo Iwata dan Shonan Bellmare.
Walau bagaimanapun, khabar perpindahan Suphanat ke Consadole Sapporo pantas dinafikan Presiden Buriram United, Newin Chidchob.
Perpindahan pinjaman ini menjadikan Sarach sebagai pemain terbaru Thailand yang berkelana di bumi Jepun.
Selain Sarach, Ekanit Panya, Supachok Sarachat dan Patrik Gustavsson turut beraksi di bumi Negara Matahari Terbit itu. Ekanit beraksi untuk Urawa Reds, Supachok (Consadole Sapporo) dan Gustavsson (Nara Club).
Sarach dijangka menyertai Nagasaki selepas selesai tugasan final Thai League Cup 2023/24 hari ini. Final itu bakal menemukan BG Pathum dan Muangthong United.