Naib juara Liga Super musim lepas, Terengganu terus mendapat suntikan moral menjelang musim baru liga. Ini selepas skuad Peteh memeterai perjanjian penajaan selama semusim dengan Sasoakai Resources Sdn Bhd.
Menerusi perjanjian penajaan tersebut, Sasoakai Resources yang berpangkalan di Terengganu itu menyalurkan tajaan berjumlah RM250,000.
Menurut CEO Terengganu FC (TFC), Ab Rasid Jusoh, suntikan kewangan yang diberi Sasoakai Resources amat membantu skuad Penyu untuk musim ini. Selain Liga Super, Terengganu juga bakal bersaing dalam Piala AFC musim ini.
“Kehadiran syarikat yang berpengalaman luas dalam industri pembinaan, kejuruteraan awam, perlombongan dan pelaburan ekuiti persendirian itu dilihat sebagai sokongan kepada kelab yang memerlukan perbelanjaan tambahan untuk bersaing di pentas Asia.
“Kita meletakkan impian yang tinggi pasukan TFC mampu melangkah lebih jauh lagi musim ini sekali gus memperbaiki pencapaian musim lalu,” katanya dalam majlis menandatangani perjanjian penajaan di ibu pejabat TFC hari ini.
Majlis pemeteraian perjanjian ditandatangani oleh Ab Rasid dan Pengarah Eksekutif Sasoakai Resources, Herman Syah Abdul Rahim. Ia turut disaksikan oleh Pengarah Urusan Sasoakai Resources, Syed Ahmad Anas Engku Kelana Diraja dan COO TFC, Mohd Sabri Abas.
Terengganu bakal memulakan saingan Liga Super menerusi perlawanan Piala Sumbangsih membabitkan mereka dan JDT pada 24 Februari ini.