Konflik Israel-Palestin yang tercetus sejak 7 Oktober lalu mendorong ramai pemain dan legenda bola sepak tampil menyatakan pendirian pro-Palestin.
Antara pemain yang berbuat demikian ialah Mohamed Elneny, Mesut Ozil, Eric Cantona dan Riyad Mahrez.
Bagaimanapun, sesetengah pemain terpaksa membayar harga mahal kerana berani menyatakan pendirian tersebut.
Bekas bintang Aston Villa, Anwar El Ghazi dikenakan tindakan disiplin oleh kelab barunya, FSV Mainz kerana menyatakan pendirian pro-Palestin di laman media sosial.
Sejak Selasa lepas, beliau telah dikecualikan daripada menjalani latihan dan sebarang komitmen untuk perlawanan Bundesliga pada hujung minggu ini.
Nasib sama turut menimpa pemain pertahanan kanan Nice, Yousef Atal kerana memuatnaik pendirian pro-Palestin di media sosial.
Walaupun hantaran tersebut telah dipadamkan dan pemain Algeria itu sudah memohon maaf, Nice yang dimiliki bakal pemegang saham minoriti Manchester United, Sir Jim Ratcliffe tetap menggantungnya.
Pendirian beberapa kelab ini mengundang kemarahan peminat bola sepak kerana pendirian serupa tidak terpakai kepada pemain-pemain yang menyatakan pendirian pro-Israel.
Sejak konflik tercetus pada 7 Oktober lalu, beberapa pemain seperti Oleksandr Zinchenko dan Manor Solomon menyatakan pendirian tersebut tetapi tidak dihukum kelab masing-masing.