Bintang tengah Arsenal dan Mesir, Mohamed Elneny menyatakan sokongan secara terbuka terhadap rakyat Palestin.
Sokongan tersebut dinyatakan dengan menukar gambar profil Instagramnya kepada gambar bendera Palestin dan Masjid Al-Aqsa.
Mengikut laporan Daily Mirror, tindakan tersebut dibuat selepas rakan sepasukan Oleksandr Zinchenko memuatnaik status Instagram yang berbunyi, “Saya bersama dengan Israel.”
Sejak itu, bek kiri Ukraine menerima kecaman hebat daripada pengguna media sosial susulan pendiriannya itu.
Ini memaksa Zinchenko mengehadkan akses pengguna kepada akaun Instagramnya sejak beberapa hari lepas.
Ini bukan kali pertama Elneny menyatakan sokongan kepada Palestin. Dua tahun sebelumnya, bekas pemain tengah Basel itu melakukan perkara sama susulan serangan Israel ke atas Gaza.
Bagaimanapun, tindakan Elneny mengundang kemarahan penaja Arsenal, The Lavazza Group mengikut laporan Sky Sports.
Ramai percaya tindakan ini akan memaksa The Gunners terpaksa campur tangan ke atas pemain tengah Mesir itu.
Sejak pergolakan terbaru Palestin-Israel tercetus pada 7 Oktober lalu, lebih 1,400 warga Palestin terbunuh dengan 6,500 lagi cedera.