Lagenda bola sepak negara, Razman Roslan memuji kualiti yang dimiliki oleh pertahanan Sri Pahang, Adam Nor Azlin.
Beliau kini berhijrah menyertai skuad Tok Gajah pada musim 2024/25 dari JDT dan mula mendapat peluang beraksi.
Razman dalam satu sesi bersama Astro Arena berkongsi detik beliau beraksi bersama Adam pada peringkat kelab dan juga pasukan kebangsaaan.
“Saya pernah beraksi bersamanya di Selangor dan beliau antara pemain muda yang dipanggil bersama skuad kebangsaan oleh Datuk Ong Kim Swee.
“Saya gembira apabila beliau (Adam) berhijrah dari JDT ke Sri Pahang. Kita tahu kualiti yang dimilikinya dan saya harap beliau mendapat tempat dalam kesebelasan utama.
Razman sedar kerja keras dan konsistensi diperlukan oleh pertahanan kental ini untuk merebut tempat dinbawah kendalian Fandi Ahmad.
“Beliau masih lagi bersaing sengit untuk merebut tempat di Sri Pahang kerana Fadhli Shas masih ada di situ. Peluang harus digunakan sebaik mungkin oleh Adam,” jelasnya kepada Astro Arena.
“Saya lihat beliau ada kualiti yang baik, sangat agresif. Jika pemain berhadapan situasi satu lawan satu sangat sukar kerana dia pemain yang sangat berkarakter, beliau tidak akan membenarkan penyerang melepasinya,” jelas Razman.
Sebagai rekod, pemain berusia 28 tahun ini sudah beraksi selama 210 minit dan melakukan 10 pintasan.
Beliau juga berjaya merekodkan 54 hantaran tepat (87.10%) selain memenangi 4 perebutan bola di udara.
Ujian berikutnya buat Sri Pahang adalah aksi menentang Selangor pada 31 Julai 2024 di Stadium Temerloh.