Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee merasa kurang senang dengan komen sesetengah penyokong yang melabel pasukan itu sebagai pasukan eksperimen.
Komen itu timbul selepas melihat perubahan yang dibuat Kim Swee dalam perlawanan menentang Penang FC dan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC).
Aksi menentang Penang menyaksikan nama Stuart Wilkin dipilih sebagai jeneral tengah pasukan menerusi formasi biasa mereka, 3-4-3.
Sementara untuk aksi menentang Kelantan pula, Kim Swee memilih Gary Steven Robbat sebagai jeneral tengah.
Stuart masuk pada babak kedua menggantikan Gary sebelum meledakkan gol kedua skuad Badak pada minit ke-63. Kemasukan pemain tengah kebangsaan itu memastikan Sabah pulang dengan kemenangan 3-1.
Kim Swee melihat perubahan yang dilakukan beliau merupakan percaturan yang dibuat untuk meraih kelebihan taktikal ke atas Kijang Emas.
Atas sebab itu, beliau mengingatkan setiap percaturan yang dibuat sudah dirancang terlebih dahulu dan bukan bersifat eksperimen semata-mata.
“Kalau sebelum perlawanan tadi, saya ditanya tentang eksperimen. Tetapi ini bukan eksperimen. Kalau anda lihat eksperimen, mungkin saya bereksperimen antara Gary (Steven Robbat) dan Stuart (Wilkin).
“Jadi yang mengatakan ini eksperimen, mereka tidak tahu tentang percaturan yang telah dilakukan. Jadi, pasukan Sabah bukan pasukan eksperimen,” katanya dalam temubual selepas perlawanan semalam.
Keputusan ini menyaksikan Sabah bergelar pendahulu liga buat sementara waktu dengan empat mata daripada dua perlawanan.
Selepas ini, skuad Badak bakal mengharungi perlawanan derby Borneo dengan Kuching City FC pada 25 Mei ini.