Pemain tengah baharu Selangor FC, Nooa Laine meluahkan rasa terujanya untuk menyarung jersi The Red Giants musim hadapan.
Beliau yang diumumkan secara rasmi pada Jumaat berkata, reputasi Selangor sebagai kelab yang memiliki sejarah yang mengagumkan membuatkan beliau berasa bangga untuk menyarung jersi keramat pasukan itu.
Ini membuatkan beliau tidak sabar untuk berjumpa para penyokong skuad Gergasi Merah dan berharap beliau dapat mengukir memori indah bersama mereka selama berada di sini.
”Saya berbangga dapat menyertai Selangor FC kerana ia merupakan kelab yang kaya dengan sejarah. Saya tak sabar mahu bertemu dengan para peminat buat kali pertama dan berharap kami dapat mencipta memori hebat bersama”, katanya sejurus selepas diumumkan.
Pemain berusia 22 ini menyertai skuad bimbingan Tan Cheng Hoe secara pinjaman selama satu musim dari kelab Finland, SJK Seinäjoki bagi memperkuat bahagian tengah pasukan.
Nooa Laine merupakan rekrut kelima The Red Giants selepas berjaya menandatangani khidmat Umarbek Eshmurodov, Ronnie Fernandez, Alvin Fortes dan penjaga gol muda, Azim Al-Amin baru-baru ini.
Dengan kehadiran Nooa Laine, Selangor mempunyai lebih banyak pilihan untuk mengemudi bahagian tengah pasukan bagi menghadapi musim 2024/2025 lebih-lebih lagi apabila Selangor bakal membuat penampilan di Asian Champions League 2 (ACL2) kelak.