Pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi mengakui bangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada lembaran sejarah baru pasukan itu.
Selangor menamatkan kemarau trofi mereka dalam tempoh 10 tahun apabila meraih kejuaraan MFL Challenge Cup pada 22 Februari lalu.
Kejayaan itu dicapai dengan menewaskan PDRM FC 4-0 dalam aksi final kedua di Stadium MBPJ. Ini membolehkan mereka meraih kemenangan agregat 7-0.
Meskipun gembira dengan pencapaian tersebut, jurulatih Jepun itu melihat pencapaian ini sebagai batu loncatan untuk Selangor mara ke hadapan selepas ini.
“Saya bangga menjadi sebahagian daripada (catatan baru) sejarah Selangor. Bagi kita, ini penanda aras untuk masa akan datang,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan.
“Jadi, hari ini harapnya kita dapat terus kekalkannya. Tapi bermula esok, kita kena bersedia untuk sasaran seterusnya.
“Jadi, kita perlu ada latihan dan perlawanan yang baik untuk perjuangan kita yang seterusnya. Tetapi secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan usaha semua pemain.”
Selangor kini mengalihkan fokus kepada kempen Liga Super. Merah Kuning kini berada di tempat kedua liga dengan 42 mata.
Selangor berharap dapat mengulangi pencapaian bergelar naib juara liga yang diraih pada 2023. Ini kerana tempat kedua menjamin slot kelayakan automatik ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Perjuangan tersebut bakal diteruskan apabila Merah Kuning berdepan Sabah FC di Stadium MBPJ pada 27 Februari ini.