Bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal berkongsi detik diarahkan mencari kelab lain dan akhirnya memilih Selangor ketika bergelar pemain bola sepak.
Beliau sebelum ini bergelar pengendali Penang FC sempat berkongsi pengalaman menjuarai piala domestik sepanjang kariernya.
Menerusi satu perkongsian kepada Bola Itu Life di Astro Arena, beliau masih mengingati perjalanan suka duka sepanjang kariernya terutamanya beberapa siri kecederaan yang terpaksa diatasi.
“Saya pernah menjuarai Liga Perdana 2002, selepas itu 2004 kami tewas final Piala Malaysia di tangan Perlis.
“Saya juga mengharungi detik kecederaan sekitar tahun 2005 hingga 2006 melibatkan lutut (ACL) dan juga peha.
Penghijrahan anak jati Kedah ini ke Selangor pada tahun 2007 mendapat liputan meluas terutamanya respon dalam kalangan peminat setia Hijau Kuning.
“Itu menjadi kontroversi sedikit pada ketika itu kerana saya berhijrah ke Selangor pada tahun 2007.
“Ramai penyokong Kedah tidak tahu sebabnya. Ada yang mengatakan berkenaan tawaran lumayan tetapi sebenarnya di belakang tabir Kedah tahu.
“Saya diarahkan untuk mencari pasukan lain. Jadi ketika itu, saya ke Selangor dan kita tahu perseteruan antara penyokong Kedah dan Selangor itu bagaimana,” katanya.
Akmal juga menafikan penghijrahan ke Selangor atas sebab tawaran lumayan malah menegaskan bahawa keputusan itu diambil atas sebab tidak ditawarkan kontrak lanjutan bersama Kedah.