Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mengakui dihimpit secara agresif dan sengaja ketika pusingan kelayakan acara keirin Sukan Olimpik Paris.
Azizulhasni yang bersaing dalam saringan pertama bagi pusingan kelayakan bermula baik sehinggalah perlumbaan tersebut telah dibatalkan dan dimulakan semula.
Walau bagaimanapun, Azizulhasni telah disingkirkan atas dakwaan oleh pihak komiser yang mendapati beliau telah memotong derny sebelum meninggalkan trek perlumbaan.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Azizulhasni telah menjelaskan bahawa terdapat halangan yang menggangu laluannya oleh pelumba dari Perancis ketika memasuki selekoh keempat.
“Namun ketika melepas selekoh ke-3 dan sebelum memasuki selekoh keempat, saya dihalang dengan himpitan dari pelumba Perancis (Rayan Helal).
Beliau menganggap tindakan Helal tersebut begitu agresif hingga mampu merisikokan kayuhannya dan terpaksa meningkatkan kelajuan bagi mengelak sebarang insiden tak diingini.
“Himpitan itu terlalu agresif dan bagi saya ianya adalah agresif dengan sengaja kerana melanggar saya dan saya hampir terjatuh. Saya terselamat daripada jatuh kerana reaksi pantas dan kemahiran pengendalian bagus yang saya ada.
“Tidak cukup dengan itu beliau masih mengekori rapat disebelah dan masih cuba memberikan himpitan ke-2 dan di dalam keadaan seperti itu reaksi saya adalah bergerak kehadapan untuk mengelak dari beliau.”
Malang buat The Pocket Rocket Man apabila keputusan rayuan yang dibuat jurulatih, John Beasley dan pengurus, Izham Mohammad ditolak sekaligus Azizulhasni terpaksa akur disingkirkan.
Berita ini jelas mengejutkan lalu meninggalkan seorang lagi pelumba, Shah Firdaus Sahrom sebagai wakil tunggal negara bagi membawa cabaran misi emas di suku akhir nanti.